Menjalani kehidupan seharian pasti,banyak cerita suka, duka,lucu,sedih yang perlu diharungi...semoga segala cabaran ini dapat di tempuh dengan hati yang tenang dan hidup yang di lalui ini mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah s.w.t... Ameen

Wednesday, December 09, 2009

My Last Ramadhan

Email yang di kongsi teman beberapa tahun yang lalu

Saat lembaran ini ditulis, aku baru lepas tersentak diingatkan oleh mimpi semalam. Ibuku yang menyiapkan Spaghetti buat santapan sahur (makan awal pagi untuk berpuasa) kami sekeluarga. Memori indah pada usiaku 20 tahun yang baru berjinak-jinak berlapar dahaga demi Ramadan yang mulia tiba-tiba terngiang-ngiang di dalam benakku. Pada masa itu aku baru sahaja memeluk Islam ditangan brother Silvester Abdullah, seorang pensyarah law yang amat aku hormati di Matrikulasi UIA, PJ. Ia datang tiba-tiba. Entah kenapa? Mengingatkan diri yang ‘mudah lupa’, aku tersentak lagi.

Hari ini sudah 25 Syaaban 1427. Tinggal 5 hari masanya akan tiba. Ramadan yang mulia. Aku ingin lontarkan seposen dua buah fikiranku yang selalunya sendat dan juga himpunan ayat mulia dan khazanah mutiara dari hadis Al-Amin sebagai persiapanku menemui Ramadan Kareem yang dirindui. Tulisan ini aku tujukan khas untuk kalian yang masih sempat diberikan peluang terakhir hidup di dunia ini. Ambillah apa yang akan aku lontarkan ke hati kalian. Saudaraku, setahun berlalu. Tahun demi tahun berlalu. Cukup pantas masa berlalu dan tidak mungkin ia akan berpatah. Bermakna kita semakin tua. Kita semakin dewasa. Kita bakal menghampiri-Nya. Sesungguhnya masa adalah kehidupan kita.

Ramadan tahun ini telahpun kembali. Sedar atau tidak, mereka yang Muslim bakal bergelar mahasiswa mendaftar masuk sebuah universiti of tarbiyyah (Unitar) yang mulia ini. Pintu gerbangnya terbentang luas kepada semua yang beriman dan belum beriman bagi menimba seribu satu latihan dan didikan di taman istimewa ini.Untuk yang belum Islam, bulan ini ibarat bulan yang bukan asing buat kalian kerana ibadah puasa ini telahpun serasi dengan sekitar hidup kalian. Kalian telah biasa dibesarkan dengan suasana masyarakat Muslim yang menahan diri berlapar dari terbit fajar sehinggalah nun ke hujung terbenamnya suria apabila bulan Ramadan memunculkan susuk dirinya.

Saudaraku,kalau kalian berasa asing, maka ia adalah sesuatu yang perlu kalian pelajari darinya. Ketahuilah, mereka yang berpuasa ini mengamalkannya bukan sebagai amalan biasa. Adat nenek moyang yang ditinggalkan. Puasa ini bukanlah satu seksaan yang difahami setengah manusia terpaksa menahan diri dari makan minum sepanjang hari semata-mata. Mereka bukanlah bangsa yang berpuasa kerana ikutan. Mereka bukanlah berpuasa untuk melangsingkan badan yang setahun dulu mereka isikan dengan lemak dan daging. Dengan nasi lemak dan roti canai mamak yang menyelerakan itu.

Saudaraku, puasa ini adalah tanggungjawab. Ia diperintahkan kepada semua Muslim apabila tibanya bulan Ramadan disaksikan oleh pakar astrologi negara meneropong le langit...besok diisyiharkan berpuasa. Apabila tiba bulan ini....mereka sangat gembira kerana bulan ini menjanjikan seribu satu ganjaran yang hebat. Grand sale untuk semua! Tuhan mereka menawarkan ganjaran yang berlipat-lipat ganda berbanding bulan yang lain. Nabi mereka, Muhammad bin Abdullah pernah menceritakan tentang ganjaran ini yang berbunyi:“Setiap amal kebaikan Bani Adam, ganjarannya (ditulis oleh Malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku (Allah) dan Akulah (Allah) yang memberi ganjaran puasanya. Puasa adalah perisai (penyelamat dari azab tuhan)” (Riwayat an-Nasaai). Saudaraku, mereka begitu gembira kerana mereka dijanjikan kegembiraan yang istimewa. Menurut nabi mereka, “ Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan. Gembira apabila menikmati hidangan berbuka. Gembira apabila bertemu tuhan-Nya hasil dari puasanya.” Mereka menjadikan janji ini motivasi yang sangat mujarab. Ia memang benar. Kalian boleh melihat pada masa mereka berbuka bersama keluarga dan saudara mereka, sangat indah dan gembira sekali saat itu. Inilah kegembiraan yang tuhan janjikan buat mereka.Tuhan mereka telah merakamkannya juga... “Katakan Dengan kurniaan Allah dan >Rahmat-Nya, mereka (yang beriman) hendaklah bergembira (menerimanya). Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu lebih baik dari apa yang mereka >kumpulkan.” (Yunus 58)

Saudaraku, bulan puasa bulan didikan yang paling praktikal. Universiti istimewa itu mendidik mereka menahan nafsu makan dan minum mereka. Mengawal diri mereka dari berzina (bersetubuh tanpa ikatan perkahwinan). Menahan jiwa mereka dari berfikir yang sia-sia. Bercakap yang benar. Tidak berbohong. Menahan diri apabila diajak bergaduh atau dicaci orang. Mereka diperintahkan untuk mendekatkan diri mereka kepada tuhan mereka dengan segala amalan yang mulia. Membanyakkan doa dan sembahyang. Bersahur (makan sedikit sebelum berpuasa). Banyak bersedekah. Segera berbuka apabila tiba masanya. Kalian akan lihat mereka bersusah –payah pada siang hari untuk menahan makan, apabila tiba malam hari mereka bangun bersembahyang Tarawikh yang banyak rakaatnya, menjelang pagi mereka bangun awal bersembahyang lagi menitiskan air mata kesilapan memohon doa dan bertahajud dan membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Kemudiannya, mereka memasak dan bersahur bersama keluarga mereka. Kumandangnya azan subuh, mereka berjalan menuju ke masjid dan kemudian keluar bekerja seperti biasa.

Begitulah amalan mereka sepanjang Ramadan itu. Semua amalan itu adalah motivasi, kuat upaya membentuk peribadi mereka untuk mendepani ujian sebenar dalam kehidupan mereka. Amalan tersebut menguatkan hati dan jiwa mereka untuk meneruskan sisa hidup ini dengan kebaikan. Menjadi benteng pertahanan buat mereka menepis segala godaan jahat dan jalan yang menyesatkan mereka. Didikan di universiti Ramadan ini amat intensif dan mampu mempersiapkan mereka untuk grad selepasnya dengan satu kekuatan jiwa dalaman mereka. Saudaraku, jika kalian terlihat sebahagian mereka yang makan ditengah hari pada bulan puasa. Bercakap bohong. Berbual kosong. Berbicara pasal seks. Meninggalkan sembahyang. Bergaduh dan bermusuhan. Berzina dan berkhalwat (duduk berdua antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin). Leka dengan dunia hiburan yang tiada kesudahan itu. Berpagi di The Zouk dan Jungle Rumble di Jalan P. Ramlee. Malas dalam pelajaran. Terlampau mengutamakan kedunian dan harta benda. Memburu kekayaan sehingga terkikisnya nilai keluarga dan kebahagian yang abadi. Terlampau ganas sehingga meletupkan dan membunuh mereka yang tidak berdosa di Selatan Thai dan Bali. Maka, saksikanlah bahawa mereka telah gagal dan jiwa mereka sangat lemah. Hati mereka tidak disentuh langsung dengan iman dan ajaran tuhan mereka. Jiwa Syaitan telah sebati dalam tiap titis darah mereka. Hati mereka telah terbenteng dengan kebiasaan mereka sebelum puasa. Mereka tidak bersyukur dengan kemuliaan dan hadiah istimewa buat mereka. Kalau kalian bertemu mereka, kalian katakan kepada mereka…anda manusia yang rugi. Anda manusia yang tiada hati.

Namun, kalian jangan tersalah faham kerana Islam dan umatnya suatu yang belum tentu seiringan kerana ada mereka yang mengaku umat tapi hidupnya jauh dari pengakuan mereka. Ada yang mengaku Islam tapi bersusah-payah untuk menghancurkan agama mereka sendiri. Fikiran mereka telah dikacau oleh makhluk bernama Iblis dan juga manusia yang mengikut jalan makhluk durjana itu. Mereka tidak memahami agama mereka. Abaikan mereka. Dalam hati kecilmu ampunkan mereka dan doakan mereka. Semoga mendapat petunjuk yang benar. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan mereka.” (Ra’d 11)

Saudaraku, jikalau kalian rasa kalian ingin juga merasai nikmat istimewa orang berpuasa dan segala ganjaran yang saya terangkan tadi, silakan. Kalian dialu-alukan. Pintu gerbangnya terbuka luas. Kehadiran dan penyertaan kalian akan mereka (Muslim) sambut dengan penuh gembira dan dada yang lapang. Jika kalian terasa untuk membaiki gaya hidup kalian menghabiskan wang ringgit anda untuk perkara yang tidak bermanfaat, wang anda boleh kalian hulurkan kepada ramai fakir miskin yang menunggu tangan anda. Jika kalian merasakan keindahan Islam mula berbunga dalam hati kalian atau sekadar di mata anda, janganlah teragak-agak lagi untuk melangkah setapak lagi. Nyatakan niat kalian kepada mereka yang kalian rasa baik dan dipercayai untuk membimbing kalian. Mereka (Muslim) bersedia membantu anda. Jika hati kalian selama ini begitu terseksa, rasa kekosongan, tiada bimbingan, maka hati itu akan diisikan dengan semangat baru melepaskan diri anda terus dalam kesunyian dan kekosongan. Jiwa kalian akan kembali bersinar dengan cahaya dan ketenangan abadi. Percayalah. Kalau diberikan kesempatan, mungkin kita akan bertemu di sana, negeri kekal abadi buat mereka yang kenal tuhan mereka. Itulah sahaja seposen dua wasiatku untuk kalian. Kerana ini adalah Ramadanku yang terakhir.

Ariberto @ Abu HariTH
Gombak
18 September 2006

No comments: